Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar kejayaan apabila merangkul Anugerah Transformasi Komuniti Terbaik dalam Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0.
Program yang berlangsung pada 13 hingga 14 Jun 2026 di Kota Samarahan, Sarawak ini merupakan inisiatif anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UNIMAS Entrepreneurship Centre yang menghimpunkan 23 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia untuk mempersembahkan projek berimpak tinggi berteraskan pelancongan komuniti, inovasi sosial dan transformasi digital.
Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha, kreativiti dan komitmen pasukan UMS dalam membangunkan penyelesaian digital yang memberi impak kepada komuniti melalui pemerkasaan pelancongan berasaskan komuniti. Projek yang dibangunkan membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu mencetuskan idea yang inovatif, malah berupaya mengaplikasikan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan semangat keusahawanan sosial demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
UMS turut berjaya meraih Pingat Emas Keseluruhan IDCT 2.0, sekali gus menempatkan diri antara institusi terbaik dalam pertandingan berprestij ini.
Kejayaan ini telah dicapai oleh sekumpulan pelajar daripada Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Program Komputeran Perniagaan Tahun 3, iaitu Shivaani A/P Tamil Selvan, Iffah Adhwa Binti Jamadil, Muhammad Haziq Hazim Bin Amir, Farah Ain Maisyarah Binti Hamzah dan Mohamad Syafiq Syahmil Bin Mat Julih.
Pasukan ini telah dibimbing oleh mentor dan pensyarah FKI, Ts. Hadzariah binti Ismail, sepanjang pelaksanaan projek.
Penyertaan IDCT 2.0 telah dinilai oleh 71 orang panel juri yang terdiri daripada ahli akademik universiti awam, politeknik serta wakil industri. Penglibatan mereka memastikan setiap projek dinilai secara profesional, telus dan berintegriti bagi mengiktiraf inisiatif yang benar-benar memberi impak kepada komuniti.