KOTA KINABALU, 6 Ogos 2026 – Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmen terhadap kecemerlangan dan jaminan kualiti akademik melalui Sesi Bersama Penilai Luar Program Pascasiswazah (Penyelidikan) dan Program Sarjana Sains Komputer (Pembangunan Perisian) yang berlangsung pada 6 Ogos 2026.

Sesi yang diadakan dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat FKI dan Smart Class Room ini menjadi platform strategik bagi mendapatkan pandangan, penilaian serta input profesional daripada pakar luar dalam menilai pelaksanaan program akademik pascasiswazah yang ditawarkan oleh FKI.

Bagi Program Pascasiswazah (Penyelidikan), sesi penilaian luar dikendalikan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Sanusi bin Azmi, manakala Program Sarjana Sains Komputer (Pembangunan Perisian) dinilai oleh Prof. Dr. Nurhizam Safie bin Mohd Satar.

Sesi dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof. Madya. Ts. Mohd Hanafi bin Ahmad Hijazi, yang menzahirkan penghargaan atas kesudian para penilai luar berkongsi kepakaran, pandangan dan cadangan dalam usaha memperkukuh kualiti serta keberkesanan program akademik di FKI.

Penilaian luar ini turut menjadi wadah penting bagi FKI mendapatkan perspektif bebas dan profesional dalam menilai kekuatan, pencapaian serta ruang penambahbaikan program, khususnya dari aspek kurikulum, penyampaian akademik, pengurusan program, pengalaman pelajar, hasil pembelajaran serta kesesuaian program dengan perkembangan semasa bidang teknologi dan keperluan industri.

Turut hadir ialah Dr. Nooralisa binti Mohd Tuah, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa; Dr. Jackel Chew Vui Lung, Penyelaras Program Pascasiswazah (Penyelidikan); serta Dr. Samry @ Mohd Shamrie bin Sainin, Penyelaras Program Pascasiswazah (Kerja Kursus/Mod Campuran).

Pelaksanaan sesi ini mencerminkan kesungguhan FKI dalam memastikan program pascasiswazah yang ditawarkan sentiasa relevan, kompetitif dan memenuhi piawaian kualiti akademik yang ditetapkan. Pandangan serta syor yang dikemukakan oleh penilai luar akan menjadi input bernilai dalam merangka tindakan penambahbaikan secara berterusan bagi mempertingkat mutu pengurusan dan penyampaian program.

Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan komitmen FKI dalam membudayakan kecemerlangan akademik, penambahbaikan berterusan dan tadbir urus berkualiti bagi melahirkan graduan pascasiswazah yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta mampu memenuhi tuntutan bidang pengkomputeran dan teknologi yang dinamik.

FKI terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa pendidikan pascasiswazah yang berkualiti, relevan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi UMS untuk terus unggul dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan.