Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatatkan pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan apabila wakilnya, Mohd Asran bin Lataga, menerima Anugerah Pembentangan Cemerlang SIGMA 2026 bagi kategori Aktiviti Pelajar & Pembangunan Holistik menerusi pembentangan bertajuk “Singgah Kopi R.O.O.T.S: Model Living Lab Kepimpinan untuk Pemerkasaan Mahasiswa Holistik”.

Anugerah tersebut disampaikan sempena Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan (SIGMA) 2026 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Ogos 2026 bertempat di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

SIGMA 2026 yang mengangkat tema “Jitu Berinovasi, Kepimpinan Berimpak” merupakan platform pemerkasaan mahasiswa di peringkat kebangsaan yang dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM).

Penganjuran SIGMA 2026 menghimpunkan lebih 200 peserta daripada 24 universiti awam, institusi pendidikan tinggi serta Institusi Pendidikan Tinggi Milik Kerajaan (GLU) bagi berkongsi idea, inovasi dan amalan terbaik dalam pembangunan mahasiswa.

Antara pengisian utama yang diketengahkan sepanjang simposium tersebut ialah pembentangan lisan, pembentangan poster, forum nasional, dialog utama, ucaptama serta perkongsian amalan terbaik mahasiswa.

Menerusi penyertaan tersebut, Mohd Asran bin Lataga, mahasiswa Tahun 3 dalam bidang Sains Data, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), UMS, mewakili UMS dalam kategori Aktiviti Pelajar & Pembangunan Holistik. Pembentangan “Singgah Kopi R.O.O.T.S: Model Living Lab Kepimpinan untuk Pemerkasaan Mahasiswa Holistik” telah mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan Pembentangan Cemerlang SIGMA 2026.

Pencapaian ini mencerminkan keupayaan mahasiswa UMS dalam mengetengahkan idea, inovasi dan pendekatan pembangunan kepimpinan yang relevan dengan keperluan semasa mahasiswa. Ia turut memperlihatkan komitmen UMS dalam memperkasa mahasiswa melalui pembangunan potensi, kepimpinan dan pengalaman pembelajaran yang bersifat holistik.

Warga Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), UMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd Asran bin Lataga atas pencapaian cemerlang tersebut. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada mahasiswa UMS untuk terus berkarya, berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan mahasiswa serta masyarakat di peringkat kebangsaan.