KOTA KINABALU, 7 Ogos 2026 – Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh budaya perkongsian ilmu, kecemerlangan penyelidikan dan penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui penganjuran Knowledge Sharing Session yang berlangsung pada 7 Ogos 2026 di Bilik Mesyuarat FKI.

Penganjuran sesi ini menampilkan dua tokoh akademik yang berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam bidang penyelidikan, penyeliaan akademik, penilaian geran dan tadbir urus kecerdasan buatan.

Sesi pertama berlangsung pada 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dengan menampilkan Prof. Ts. Dr. Mohd Sanusi bin Azmi sebagai penceramah menerusi tajuk “Experiences in Grant Evaluation, Research & Supervision”.

Perkongsian tersebut memberikan pendedahan kepada warga akademik mengenai pengalaman dan perspektif dalam penilaian geran penyelidikan, pengurusan aktiviti penyelidikan serta penyeliaan akademik. Sesi ini turut menjadi platform untuk warga FKI memperluas pengetahuan dan memperkukuh keupayaan dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti serta berimpak.

Pada sebelah petang, sesi kedua berlangsung pada 2.00 petang hingga 4.00 petang dengan menampilkan Prof. Dr. Nurhizam Safie bin Mohd Satar sebagai penceramah melalui tajuk “Malaysia Digital 2030: Peranan Urus Tadbir AI ke arah Negara AI”.

Sesi ini mengetengahkan perbincangan berkaitan perkembangan kecerdasan buatan serta kepentingan urus tadbir AIdalam mendukung aspirasi Malaysia untuk membangunkan ekosistem digital yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing. Perkongsian tersebut turut membuka ruang kepada warga akademik untuk memahami cabaran, peluang dan tanggungjawab institusi pendidikan tinggi dalam mendepani perkembangan teknologi AI yang semakin pesat.

Penganjuran kedua-dua sesi perkongsian ini mencerminkan komitmen FKI dalam menyediakan ruang pembelajaran berterusan dan pertukaran kepakaran dalam kalangan warga akademik. Platform sebegini penting bagi memperkukuh jaringan akademik, memperkaya perspektif serta menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam bidang penyelidikan dan teknologi.

Selain memperkasa kompetensi akademik dan penyelidikan, inisiatif ini turut menyokong usaha FKI untuk terus responsif terhadap perkembangan teknologi semasa, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan yang kini menjadi antara pemacu utama transformasi digital dan pembangunan negara.

Melalui penganjuran Knowledge Sharing Session secara berterusan, FKI komited untuk membudayakan perkongsian ilmu, memperkukuh kecemerlangan penyelidikan serta melahirkan komuniti akademik yang berpengetahuan, inovatif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi UMS dalam memperkasa pendidikan tinggi dan penyelidikan.

FKI terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa ilmu, memacu penyelidikan dan mendepani transformasi AI demi kecemerlangan akademik serta pembangunan negara.