KOTA KINABALU, SABAH | 7 OKTOBER 2026 – Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Beldron Feadrek, pelajar Tahun 4, Fakulti Komputeran dan Informatik, atas kejayaan beliau terpilih sebagai Finalis Anugerah Tokoh Perpaduan Siswa sempena Anugerah Tokoh Siswa Negara, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026.

Pencalonan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja kepada Beldron Feadrek, malah turut menjadi kebanggaan seluruh warga FKI dan UMS.

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen serta penglibatan mahasiswa dalam memperkukuh nilai perpaduan, kepimpinan dan kecemerlangan, selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berintegriti dan mampu memberikan sumbangan positif kepada masyarakat serta negara.

FKI berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat kampus.

Seluruh warga Fakulti Komputeran dan Informatik, UMS mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Beldron Feadrek di peringkat seterusnya. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Tahniah dan syabas!