KOTA KINABALU, SABAH — Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar FKI, Chia Faang Jann, atas kejayaan cemerlang meraih pingat emas dalam acara Renang 50 Meter Kuak Dada Kategori SB4 pada Para SUKMA XXII Selangor 2026.
Kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja kepada Chia Faang Jann, malah turut mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Negeri Sabah di persada sukan para peringkat kebangsaan.
Sebagai seorang pelajar OKU berkerusi roda, pencapaian yang diraih oleh Chia Faang Jann memperlihatkan kesungguhan, disiplin, ketekunan dan semangat juang yang tinggi dalam mengharungi cabaran untuk mencapai kejayaan dalam bidang sukan.
Kejayaan ini juga membuktikan bahawa usaha yang berterusan, disertai semangat dan keazaman yang tinggi, mampu membawa kepada pencapaian yang membanggakan. Prestasi beliau wajar dijadikan inspirasi kepada warga FKI, khususnya para pelajar, untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sukan.
FKI berharap kejayaan yang dicapai ini akan menjadi pemangkin kepada Chia Faang Jann untuk terus mengorak langkah dan mencipta lebih banyak pencapaian pada masa akan datang, di samping mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Chia Faang Jann atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara Renang 50 Meter Kuak Dada SB4 di Para SUKMA XXII Selangor 2026. Seluruh warga FKI berbangga dengan pencapaian ini dan mendoakan agar kejayaan berterusan dapat dicapai pada masa hadapan.